Friday, July 3, 2009

Majlis Bicara Ilmu -Rahsia Bisnes Orang Cina
Oleh : Wan Adlina Wan Ab. Aziz

Orang Melayu sering memberi tanggapan negatif kepada Orang Cina dengan menyatakan bahawa kaum tersebut suka mengambil kesempatan dan kuat menipu sehingga mereka boleh berjaya dalam perniagaan. Persepsi sebegini perlu disingkir dalam mentaliti Orang Melayu kerana mereka harus sedar bahawa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh adalah formula utama untuk berjaya dalam perniagaan sebagaimana yang diamalkan oleh Orang Cina”.

“Sifat benci, dengki dan dendam dalam menjalankan perniagaan tidak seharusnya ada dalam diri Orang Melayu, lebih-lebih lagi taksub kepada kepercayaan dan amalan khurafat yang masih membelenggu cara hidup mereka sehingga boleh membawa kepada kemunduran”.

Demikian antara kupasan inti pati yang disampaikan oleh penulis terkenal, Encik Ann Wan Seng ketika dijemput berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai buku tulisannya iaitu “Rahsia Bisnes Orang Cina” pada Majlis Bicara Ilmu – Rahsia Bisnes Orang Cina yang berlangsung di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor pada 18 Mac lalu. Ini merupakan satu lagi pendekatan baru yang diperkenalkan dalam usaha ANGKASA membimbing dan menyampaikan maklumat kepada koperasi ke arah pembangunan gerakan koperasi yang berdaya saing.

Menurut beliau, kejayaan Orang Cina dalam perniagaan berpaksikan kepada usaha gigih mereka hasil susah payah serta keperitan yang dialami nenek moyang mereka terdahulu ketika berhijrah ke Tanah Melayu sehinggalah berjaya membina empayar tersendiri seterusnya menguasai ekonomi. Justeru, penglibatan Orang Cina dalam perniagaan tidak dapat dipisahkan malah sudah sinonim dengan kehidupan mereka yang kebiasaannya berjaya dan dapat kekal bertahan secara turun-temurun.

“Hasil titik peluh mereka ini seharusnya dipelajari oleh Orang Melayu dan mereka perlu sedar yang Orang Cina memiliki jiwa merantau yang kuat sedangkan Orang Melayu sering meletakkan diri mereka di dalam zon selesa.

“Di sini, saya ingin memetik sebahagian tulisan saya dalam buku ini iaitu “Jika mahu lebih berjaya daripada orang lain, kita tidak mempunyai pilihan kecuali bekerja dengan lebih kuat dan rajin,” yang merujuk kepada Orang Cina yang lebih dikenali sebagai golongan yang kuat bekerja walaupun sudah berjaya, tidak mudah putus asa dan kecewa dengan kegagalan, rajin dan bersungguh-sungguh mengusahakan sesuatu sehingga berjaya,” katanya yang sudah menerbitkan sejumlah 30 buah buku termasuk Rahsia Bisnes Orang Jepun, Rahsia Bisnes Orang Korea, Rahsia Bisnes Negara China, Chinese Customs and Taboos, Penderaan Kanak-Kanak di Malaysia dan Respons Intelektual Muslim : Isu Semasa.

Menurut penulis kelahiran Selangor yang memeluk Islam pada akhir 1996 itu, Orang Cina melihat perniagaan sebagai sesuatu yang luas perspektif-nya dan ia tidak terbatas bagi mereka kerana mereka beranggapan perniagaan boleh mengeluarkan mereka daripada senario kemiskinan dan kesusahan, menjadikan mereka berdikari, tidak bergantung kepada orang lain seterusnya meningkatkan taraf hidup sosial.

Majlis Bicara Ilmu berkenaan yang dikendalikan oleh Pengurus Pelajaran, Haji Md. Ali Ahmad, bertindak sebagai moderator majlis turut menampilkan pengamal perniagaan, juga merupa- kan Pengusaha Perniagaan, Ustaz Muhammad Azmi Lim Abdullah untuk sama-sama berkongsi pengalaman-nya dalam menjalankan perniagaan.

Ustaz Muhammad Azmi Lim memberitahu, mereka yang berjaya dalam lapangan kehidupan adalah individu yang berjaya dalam cara hidup mereka. Pada pendapatnya, semua individu boleh mencapai kejayaan cemerlang dengan syarat mereka bijak menggunakan pendekatan khusus untuk menuju ke jalan berkenaan.

Kira-kira 100 jemputan memenuhi dewan hotel berkenaan yang turut menerima kehadiran dif-dif kehormat ANGKASA dan beberapa agensi lain termasuk wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Kerjasama Malaysia (MKM), koperator-koperator serta Pegawai Pelajaran ANGKASA.

Hadir sama ialah Yang Dipertua ANGKASA, Dato’ Haji Abdul Rahim Abu Bakar, Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum serta Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Armi Haji Zainudin.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Haji Abdul Rahim berkata, program majlis ilmu sebegini amat dialu-alukan kerana ia boleh menarik minat mem-baca di kalangan koperator-koperator sekali gus merangsang minda mereka untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan.

Malah katanya, pemilihan tajuk buku berjudul “Rahsia Bisnes Orang Cina” adalah paling tepat dan bersesuaian kerana ia mampu membuka minda para koperator mengenai ilmu keusahawanan dan aktiviti ekonomi di samping mempelajari rahsia di sebalik kejayaan masyarakat Cina menjalankan perniagaan mereka hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Di dalam ucapannya, beliau membawa hadirin mengimbau kembali kepentingan ilmu pengetahuan melalui kalimah keramat pertama yang diperintahkan oleh Jibril A.S kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. iaitu kalimah Iqra’.

“Kalimah Iqra’ ini secara jelas memberitahu kepada kita bahawa Islam sejak awal lagi menekankan kepada kepentingan menuntut ilmu secara berterusan, lebih-lebih lagi dengan ledakan informasi dan jaringan maklumat yang meluas pada era milenium ini.

“Kita tidak sepatutnya ketinggalan dalam mengejar ilmu yang bermanfaat ini dan walaupun begitu dalam masa yang sama harus juga berwaspada dalam mencari ilmu, dan tidak ghairah atau mabuk untuk mendapatkannya sehingga mengetepikan bidang-bidang lain yang sepatutnya diberi perhatian sama rata.

“Berdasarkan statistik yang pernah dikeluarkan, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia hanya membaca empat buah buku setahun manakala purata rakyat Malaysia secara keseluruhannya membaca adalah sebanyak dua buah buku setahun sahaja. Dan apa yang menyedihkan ialah buku-buku tersebut yang dibaca itu membabitkan komik dan majalah dan bukannya buku ilmiah,” katanya.

sumber: Majalah Nasional ANGKASA

No comments: