Friday, July 3, 2009

Apabila Pelanggan Berkata “TIDAK”


Apabila anda hendak menjual barangan kepada pelanggan, kemudian mereka mengatakan “TIDAK” untuk membeli. Apakah yang perlu anda lakukan? Adakah anda perlu mengeluh? Terasa dihina? Atau Marah? Saya berikan anda beberapa tip menghadapi pelanggan yang mengatakan TIDAK kepada anda.

Bersopan santun

Anda perlu bersopan santun apabila pelanggan menolak. Sama ada dia hendak membeli atau tidak, itu haknya. Sungguhpun dia menolak, ini sebenarnya peluang anda untuk berkawan dengannya dan mungkin di masa hadapan, dia akan membeli daripada anda ataupun ditaja oleh anda.

Belajar kelemahan-kelemahan diri anda dari masa ke semasa. Supaya lama-kelamaan nanti, anda akan mahir menjual dan menaja. Tumpukan kepada matlamat jangka panjang anda. Ini bagi mengelakkan kekecewaan anda dalam jangka masa pendek. Saya namakan ini sebagai kekecewaan bermusim. Dalam dunia perniagaan MLM, malah dalam apa jua bidang, perjalanan ke arah kejayaan dimulai oleh kegagalan sementara. Di bawah paparkan contoh kegagalan sementara:
1. Henry Ford (pengasas kereta FORD) menjadi bangkrap pada tahun pertama operasi industri keretanya. Ini disusuli pula kegagalan kedua dua tahun kemudiannya. Seterusnya, cubaan yang ketiga, baru beliau berjaya.
2. Syarikat penerbitan buku yang ternama menolak penerbitan buku Harry Potter. Mereka memandang rendah hasil tulisan J.K. Rowling ini (kerana salah satu sebab ialah beliau adalah wanita). Akhirnya kini, beliau menjadi jutawan hasil daripada penulisan siri buku Harry Potter.
3. Syarikat Coca Cola hanya berjaya menjual 400 botol sahaja dalam operasi mereka pada tahun yang pertama.
Pada pendapat saya, apabila anda berbual dengan penguasaha MLM yang mencapai taraf jutawan, anda pasti mendengar mereka bercerita tentang beratus-ratus kegagalan sementara yang mereka alami sebelum berjaya.

Begitu juga dengan sesiapa sahaja yang berlainan bidang, anda dapat dengar cerita mereka yang sama tentang kegagalan sementara. Usaha yang konsisten sahaja yang dapat membawa anda ke arah kejayaan.

Apabila anda ‘jatuh’ lima kali, ‘naik’ (bangkit)lah kali yang kekeenam. Apabila anda jatuh 50 kali, naiklah untuk kali yang ke 51 dan begitulah.... jangan mudah patah semangat.Semuanya terletak di tangan anda. Berusaha dan terus berusaha sehingga berjaya menjual produk anda. (Tetapi, jangan sampai anda menjual keimanan, prinsip hidup dan adab sopan anda).


Manfaatkan penolakan

Perkataan “TIDAK” ini boleh menjadi peluang kepada anda apabila anda pandai memanfaatkannya. Tanyakan kepada mereka sama ada anda boleh membantu mereka pada masa hadapan. Adakalanya prospek tidak mahu beli hari ini kerana tidak cukup wang. Mungkin di masa hadapan mereka hendak membelinya.

Jadualkan temu janji bagi anda menghantar produk pada masa hadapan. Minta daripada mereka bakal prospek yang lain. Catatkan nama dan minta mereka memperkenalkan bakal prospek yang lain kepada anda. Kaji setiap kelemahan anda dan betulkan segera.



Jangan lekas putus asa

Berputus asa adalah amalan yang kurang bijaksana. Apabila mereka menolak, anda tidak hilang apa-apa. Dengan kata lain, anda tidak tewas. Apabila mereka membeli, anda sudah menang. Sebenanrnya pelanggan atau prospek tidak menolak anda. Sebaliknya, mereka menolak tawaran dan produk anda.Mungkin mereka tidak memerlukan lagi produk anda itu, atau mereka tidak punya cukup wang untuk membelinya, atau produk tiu tidak sesuai dengan mereka. Fikirkan sesuatu yang positif.



Emosi positif

Sambut penolakan itu dengan emosi yang positif. Apabila anda bermuka masam dan bermuram durja, anda akan menyebabkan pelanggan yang lain tidak mahu membeli. Emosi anda yang tidak baik ni mampu dapat menjangkitkan kepada orang lain. Oleh itu, sambut penolakan dengan senyuman dan keikhlasan. Ucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi meluangkan masa dengan anda. Tumpukan perhatian kepada pelanggan yang lain. Satu menolak, seratus lagi menerima.

Pengajaran

Penolakan itu adalah pengajaran dan bukannya kegagalan. Kaji kesilapan anda dan kaji kemahuan pelanggan. Sediakan catatan dan catatkan. Sampai ketikanya nanti, anda bakal mendapat idea mengatasi dan menangani penolakan prospek. Gunakan kajian anda bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan anda dalam perniagaan MLM ini. Siasat punca dan kelemahan dari masa ke masa. Jangan lekas mengalah dan berputus asa.




Jangan jadi bodoh

Jangan jadi bodoh. Jangan buang masa. Apabila prospek tidak mahu, jangan buang masa memaksa ataupun menawarkan lagi kepadanya. Cari orang lain sebagai pengganti.
Rahsia orang yang berjaya ialah mereka tidak peduli perkataan ‘TIDAK’. Mereka cari orang lain sehingga ada yang berkata ‘YA’. Pupuklah tabiat ketekunan dan ketabahan ini.



Pasti ada jalan

Ada syarikat, adalah produk. Ada produk, adalah pembelinya. Jadi, apabila ada pembeli, tentu ada pengedarnya. Pasti ada jalan dan cara dalam setiap masalah. Jalan lekas berputus asa. Usaha, usaha, usaha dan usaha lagi sehingga anda mencapai KEJAYAAN.

No comments: