Friday, July 3, 2009

Majlis Bicara Ilmu - Rahsia Bisnes Mamak
oleh : Wan Adlina Wan Ab. Aziz

Restoran Mamak begitu sinonim di kalangan masyarakat umum khususnya di Malaysia dalam perkembangan perniagaan semasa. Malah, dewasa kini, perniagaan tersebut semakin diterima ramai kerana diakui memiliki banyak keistimewaan tertentu sehingga memiliki rahsia kejayaan tersendiri.

Antara pelopor kejayaan per-niagaan berasaskan makanan pada masa kini termasuklah Bisnes Kayu Nasi Kandar, Pelita Samudera dan Kumpulan Barkath di samping perniagaan barangan kemas iaitu Habib Jewel yang terdiri daripada pengasas golongan Mamak.

Bertitik tolak daripada perkembangan perniagaan yang diusahakan golongan Mamak ini, Muhammad Faisal Sharbudin dan Zamri Muhammad mengambil keputusan untuk membukukan rahsia kejayaan bisnes Mamak di dalam sebuah buku yang yang diberi tajuk “Rahsia Bisnes Mamak”.

Melihat kepada keistimewaan dan inti pati yang terkandung di dalam buku berkenaan, ANGKASA mengambil inisiatif mengadakan satu Majlis Bicara Ilmu yang mengetengahkan penerbitan buku ini dan ianya dihadiri oleh kakitangan ANGKASA Baha- gian Pelajaran, Penerangan, Pener-bitan dan Perkhidmatan (B4P) pada 16 Disember lalu.

Majlis yang dikendalikan oleh Moderator, Naib Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan itu turut menampilkan kedua-dua penulis buku berkenaan untuk berkongsi pengalaman mengenai Rahsia Bisnes Mamak.

Menurut kedua-dua penulis berkenaan, buku yang dihasilkan itu membongkar kejayaan perniagaan ter-sebut terutama berkaitan memilih dan membuka perniagaan yang berpengaruh dan bertahan lama, menggandakan keuntungan perniagaan di lokasi berbeza, memilih pekerja dan rakan kongsi yang menguntungkan per-niagaan, cara memikat pelanggan serta meningkatkan pengaruh perniagaan sama ada bisnes restoran, runcit dan perkhidmatan.

Menurut Muhamad Faisal yang datang dari keluarga peniaga India serta aktif dalam pelbagai jenis perniagaan berasaskan makanan ini lebih mementingkan khidmat pe-langgan serta mengambil pekerja yang berdedikasi di samping patuh kepada arahan majikan.

“Majikan sentiasa memberi perhatian terhadap kos operasi bagi mengeratkan hubungan dengan pekerja-pekerja seperti penyediaan kemudahan tempat tinggal dan pemakaian pakaian seragam.

“Pembudayaan yang kami amal-kan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengamalan bisnes Mamak yang membawa kepada kejayaan keuntungan yang diharapkan,” katanya.

Selain itu katanya, trend yang diamalkan di dalam pengamalan bisnes Mamak ini termasuklah mengetengahkan perkhidmatan kelas pertama dengan bayaran kelas ketiga yang membawa maksud pelanggan diberi layanan terbaik dengan kadar bayaran yang rendah dan berpatutan.

Sementara itu, penulis kedua yang merupakan bekas penyelidik bebas bagi konsultan perunding perniagaan kecil mendedahkan antara lain keistimewaan yang terdapat di dalam bisnes Mamak ini ialah komitmen para majikan terhadap agama melalui amalan-amalan murni dalam memastikan perniagaan dan pulangan perniagaan diberkati.

“Sebagai contoh, Restoran Mamak banyak memperdengarkan bacaan Al-Quran bagi mengharmonikan suasana kedai, menitikberatkan tatasusila murni dengan pelanggan dan bersedekah setiap kali mendapat pulangan yang lumayan dan menguntungkan kerana kami percaya amalan murni ini dituntut oleh agama selain meningkatkan keyakinan diri,” katanya.
SUMBER: majalah Nasional ANGKASA

No comments: