Sunday, June 21, 2009

PUM lahirkan usahawan muda

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KOTA KINABALU 21 Jun - Sembilan daripada 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan.

Begitulah maksud hadis nabi yang menunjukkan betapa pentingnya perniagaan yang mampu meningkatkan dan menguatkan lagi kekuatan ekonomi umat.

Menyedari hakikat pentingnya perniagaan terutama sekali ketika negara berhadapan krisis ekonomi, maka prinsip dan asas keusahawanan haruslah diterapkan kepada golongan muda yang merupakan generasi pelapis negara.

Sesuai dengan peribahasa 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' maka kerajaan telah bertindak proaktif dengan memperkenalkan Program Usahawan Muda (PUM).

PUM merupakan satu pendekatan pembudayaan keusahawanan di peringkat pelajar sekolah menengah yang mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada mulanya PUM dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri di mana pertama kalinya dilaksanakan pada 1989 di Sekolah Menengah Vokasional Kuala Lumpur.

PUM yang kini diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terus berkembang dengan menyaksikan penyertaan oleh lebih 560 buah sekolah di seluruh negara.

Setiausaha Penganjur Konvensyen PUM Sabah, Mohd. Hasrul Awang Tuah berkata, PUM dimulakan di negeri ini pada 1997 melibatkan 10 buah sekolah.

"Program ini terus dikembangkan di negeri ini dari semasa ke semasa dan sehingga kini ia melibatkan 45 buah sekolah di seluruh Sabah.

"Ia akan terus dikembangkan di mana setiap tahun sebanyak lima buah sekolah akan ditambah (menyertai PUM)," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, modus operandi program ini adalah berdasarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh kementerian pelajaran.

Jelasnya, pada mulanya pemilihan sekolah dibuat oleh sekretariat daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri dan Mara.

Katanya, setiap sekolah yang dipilih akan melantik 25 ahli dan dua orang guru pembimbing.

"Guru pembimbing akan menghadiri perjumpaan mingguan serta membimbing pelajar-pelajar yang menganggotai syarikat PUM, guru pembimbing juga akan membuat pemilihan peserta-peserta PUM dari kalangan pelajar sekolah.

"Dalam pemilihan pelajar, faktor-faktor yang diambil kira adalah minat pelajar, jurusan, tingkatan, dan prestasi akademik pelajar di mana pelajar tingkatan dua dan empat diberi keutamaan," katanya.

Beliau berkata, pelajar yang menyertai PUM perlu menubuhkan syarikat Sendirian Berhad seterusnya menyumbang saham sebagai modal syarikat.

Katanya, pelajar seterusnya akan melantik anggota pengurusan yang terdiri daripada pengurus besar, pengurus kewangan, pengurus pentadbiran, pengurus pengeluaran dan pengurus pemasaran yang juga dianggap ahli lembaga pengarah.

Jelasnya, operasi syarikat PUM dijalankan selama sembilan bulan di mana peserta didedahkan kepada tiga peringkat operasi, iaitu penubuhan, pengurusan dan pembubaran.

"Kursus ahli lembaga pengarah yang juga dikenali sebagai kursus pengurusan diberikan kepada ahli lembaga pengarah syarikat PUM bagi memberikan pendedahan bagaimana menubuhkan, menguruskan dan membubarkan sesebuah perniagaan Sendirian Berhad," katanya.

Mohd. Hasrul berkata, perniagaan yang dijalankan di dalam kawasan sekolah itu meliputi sektor perkhidmatan, barangan, jualan makanan dan sebagainya termasuk penghasilan produk kreatif.

Tambahnya, Sedcovest iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) akan bertindak sebagai pendaftar syarikat dalam program ini.

Beliau memberitahu, pegawai penasihat bagi program ini pula terdiri daripada pegawai-pegawai PKEN dan anak-anak syarikat PKEN.

"Tugas utama pegawai-pegawai penasihat adalah untuk memastikan perjalanan syarikat PUM mengikut cara-cara perniagaan yang betul," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menggalakkan penyertaan, setiap sekolah diperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi membina kios perniagaan.

Katanya, pada masa ini sebanyak 41 buah sekolah di negeri ini telah siap membina kios perniagaan masing-masing.

Sementara itu katanya, acara kemuncak bagi program ini ialah Konvensyen PUM yang akan diadakan sekali setahun.

"Konvensyen ini adalah bagi memilih sekolah terbaik dan peserta terbaik bagi mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

"Ia juga bagi memberi anugerah dan pengiktirafan kepada syarikat-syarikat yang berjaya," ujarnya.

Sumber: Utusan malaysia

No comments: